Ekspedisi Mahkota Borneo: Tengku Hassanal mulakan pendakian Gunung Kinabalu hari ini

Foto: BERNAMA

KUNDASANG: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah memulakan pendakian ke Gunung Kinabalu sempena Ekspedisi Mahkota Borneo, hari ini.

Menurut laporan Bernama, pendakian itu bermula kira-kira jam 8.05 pagi di Pondok Timpohon dengan bacaan doa selamat dipimpin Mufti Sabah, Bungsu Aziz Jaafar.

Baginda kemudian diberikan taklimat pendakian oleh Penolong Pengurus Sabah Parks, Julaimin Kamil sebelum memulakan ekspedisi bersama rombongan.

Rombongan pendakian itu disertai 56 peserta terdiri daripada pegawai dan anggota Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU) serta pengiring rapat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ekspedisi berkenaan mencerminkan semangat kepimpinan, ketahanan fizikal dan disiplin tinggi yang diterapkan Tengku Hassanal khususnya kepada generasi muda dan pasukan keselamatan negara.

Dengan ketinggian 4,095.2 meter dari aras laut, Gunung Kinabalu merupakan puncak tertinggi di Malaysia dan antara destinasi pendakian terkenal di rantau ini.

Gunung itu terletak dalam kawasan Taman Kinabalu yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO kerana nilai biodiversiti dan kepentingan konservasinya.

Dalam pada itu, Taman Kinabalu turut menerima pengiktirafan sebagai kawasan teras dalam Kinabalu UNESCO Global Geopark KUGGp dengan kawasan seluas 4,750km persegi yang merangkumi daerah Kota Belud, Kota Marudu dan sebahagian daerah Ranau.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama