![]() |
| Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar. |
KOTA KINABALU: Sabah Electricity mempertimbangkan tindakan saman fitnah terhadap seorang individu susulan hantarannya tular di media sosial berkenaan isu kenaikan bil elektrik, selepas siasatan mendapati premis terbabit sebenarnya terlibat dalam kes usikan meter dan kecurian elektrik, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata, pihaknya memandang serius hantaran berkenaan kerana ia didakwa menjejaskan reputasi dan kredibiliti syarikat utiliti itu.
Menurutnya, kes terbabit menjadi antara isu paling tular sehingga mendapat perhatian pihak berkaitan di peringkat persekutuan.
“Pada awalnya kita menyangka ini kes tulen membabitkan kenaikan bil elektrik yang luar biasa, namun selepas semakan terperinci dibuat dalam sistem, kita dapati akaun berdaftar itu sebenarnya terlibat dalam kes usikan pepasangan meter (KUPM) atau Meter Tampering(Bypass di cut out fuse).
“Kita mendapati terdapat kabel pintasan di belakang meter yang menyebabkan sebahagian penggunaan elektrik tidak direkodkan,” katanya pada sesi bersama media berkenaan Cagaran Tambahan, KUPM dan Penggunaan Tenaga di Bangunan KWSP, di sini, hari ini.
Kata beliau, pihaknya telah melakukan pemeriksaan di premis berkenaan pada Februari lalu selepas mengesan kejanggalan bacaan meter.
“Hasil pemeriksaan pihak SESB, kami mendapati meter berkenaan telah diubah suai dengan pemasangan kabel tambahan bagi memintas bacaan penggunaan sebenar.
“Apabila sambungan haram itu ditanggalkan dan meter dinormalisasikan, bil penggunaan meningkat kepada kadar sebenar berdasarkan penggunaan elektrik di apartment tersebut.
“Dalam kes ini, kita juga telah mengeluarkan notis tuntutan kerugian kira-kira RM11,000 terhadap pemilik akaun bagi menampung kerugian akibat kecurian elektrik,” jelasnya.
Mohd Yaakob menambah, tindakan undang-undang turut dipertimbangkan terhadap individu yang membuat hantaran tular itu sekiranya enggan menarik balik kenyataan atau membuat permohonan maaf secara terbuka.
“Pihak SESB masih memberi ruang untuk berbincang dan sekiranya beliau mengakui kekhilafan serta membuat pembetulan secara terbuka, kita akan mempertimbangkan perkara itu dengan sewajarnya.
“Petang nanti, pihak kami akan berjumpa dengan pengguna yang membuat posting (hantaran) itu.
“Namun jika masih bertegas bahawa dakwaan tersebut benar sedangkan siasatan membuktikan sebaliknya, kita akan mengambil tindakan undang-undang bagi melindungi imej dan integriti Sabah Electricity,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna supaya menggunakan saluran rasmi Sabah Electricity ataupun aplikasi MySEplus sekiranya mempunyai pertanyaan atau keraguan mengenai bil elektrik.
Katanya, SESB sentiasa bersikap terbuka untuk menyiasat setiap aduan termasuk melakukan pemeriksaan meter dan semakan penggunaan secara terperinci.
“Kalau benar berlaku kesilapan bacaan atau masalah teknikal, kita akan perbetulkan dan minta maaf.
“Tetapi masyarakat juga perlu bertanggungjawab dan tidak terus membuat tuduhan di media sosial tanpa mendapatkan penjelasan sebenar,” ujar beliau.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 2,000 kes meter tampering direkodkan di seluruh Sabah setakat April lalu, dengan majoriti kes melibatkan pengguna di Pantai Timur.
“Saya menasihatkan pengguna agar tidak terpedaya dengan mana-mana pihak ketiga yang menawarkan perkhidmatan mengubah suai atau mengusik meter elektrik dengan bayaran tertentu kononnya untuk mengurangkan bil elektrik kerana kesannya amat serius.
“Jika ditangkap, individu terbabit boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk hukuman penjara maksimum lima tahun.
“Setakat ini, terdapat dua kes di mahkamah di Sandakan yang masih dalam proses pendakwaan membabitkan kontraktor yang menawarkan perkhidmatan usikan meter dengan janji bil elektrik lebih rendah.
“Namun, tindakan itu sebenarnya mengganggu pemasangan meter elektrik dan boleh dikategorikan sebagai satu jenayah,” tambahnya.
