Dilantik senator Dewan Negara, Phoong tekad bawa suara ‘tegas’ Sabah

Phoong Jin Zhe. 


KOTA KINABALU: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe menegaskan beliau akan terus menjadi suara tegas Sabah di Parlimen selepas dilantik sebagai senator di Dewan Negara.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang itu berkata, pelantikannya bukan satu penghormatan semata-mata, tetapi amanah besar untuk terus memperjuangkan hak Sabah dan kepentingan rakyat di peringkat Persekutuan.

“Tidak kira apa jua jawatan dan peranan yang saya galas, saya sentiasa mencintai amanah ini — untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

“Dengan sokongan parti dan negara, serta perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, saya diberikan amanah untuk dilantik sebagai Ahli Dewan Negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Phoong menambah, sepanjang enam bulan lalu beliau mendengar segala suara rakyat termasuk kritikan, teguran dan harapan yang disuarakan kepadanya.

Menurutnya, beliau akan membawa semangat itu ke Dewan Negara dengan memastikan suara rakyat mengatasi kepentingan politik dan parti.

“Melangkah ke Parlimen, saya akan terus berdiri tanpa rasa gentar. Suara rakyat mesti mengatasi kepentingan politik dan parti.

“Saya akan terus berani bersuara dan berjuang demi Sabah, mempertahankan hak Sabah di bawah MA63, serta bertekad membina sebuah Persekutuan Malaysia yang lebih adil dan saksama buat Sabah,” ujar beliau.

Phoong turut berjanji untuk bekerja lebih keras dan menjadi wakil yang konsisten membawa isu serta aspirasi Sabah di Dewan Negara.

“Kini, izinkan saya melangkah dengan lebih tekad, bekerja dengan lebih keras, dan menjadi suara Sabah yang teguh di Dewan Negara,” tambahnya. ‎

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama