38,071 pemeriksaan Ops Tiris 4.0, 147 ditahan seluruh negara - Armizan


SANDAKAN: Sebanyak 38,071 pemeriksaan telah dilaksanakan di seluruh negara menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bermula 16 Mac hingga 4 Mei 2026, dengan 506 kes direkodkan dan 147 individu ditahan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, daripada jumlah itu, penyelewengan bahan api diesel dan petrol mencatatkan kes tertinggi.

Menurutnya, kategori barang kawalan yang direkodkan ialah diesel sebanyak 228 kes, petrol (105), gas petroleum cecair atau LPG (64), minyak masak (57), gula (35) dan tepung gandum (16).

“Secara keseluruhan kita telah melaksanakan 38,071 pemeriksaan di seluruh negara dan menghasilkan 506 kes serta 147 tangkapan.

“Daripada jumlah itu, diesel mencatatkan kes tertinggi diikuti petrol, LPG, minyak masak, gula dan tepung gandum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Sentuhan Kasih dan Jualan Rahmah Madani di perkarangan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jalan Buli Sim-Sim, di sini, hari ini. Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Mengulas lanjut, Armizan berkata bagi Sabah sahaja, sebanyak 6,108 pemeriksaan telah dijalankan dengan 132 kes direkodkan dalam tempoh sama.

“Di Sabah, diesel turut mencatatkan kes tertinggi iaitu 48 kes diikuti petrol sebanyak 37 kes,” katanya.

Beliau berkata, Ops Tiris 4.0 dilaksanakan secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa di darat, perairan dan sempadan negara.

“Agensi peneraju sektor darat ialah KPDN, sektor sempadan oleh PDRM manakala sektor perairan oleh APMM, selain kerjasama pelbagai agensi lain termasuk PGA, Polis Marin dan ESSCOM,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata daripada 506 kes keseluruhan, sebanyak 223 kes merupakan serahan daripada pelbagai agensi penguat kuasa. 


“PGA merekodkan serahan tertinggi iaitu 120 kes diikuti Polis Marin sebanyak 61 kes dan PDRM sebanyak 32 kes,” katanya.

Sementara itu, Hajiji dan Armizan turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada mangsa kebakaran Kampung Bahagia serta penyerahan Bakul Rahmah kepada 100 penerima, selain mendengar taklimat pelaksanaan Ops Tiris 4.0.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama