KOTA KINABALU: Sebanyak 5,400 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Karnival Kerjaya Peringkat Negeri Sabah 2026 yang diadakan di sini, bagi mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 80 peratus peluang pekerjaan ditawarkan di Sabah.
“Hampir 54 majikan menyertai karnival kita pada hari ini dan peluang pekerjaan yang disediakan hampir 5,400.
“Daripada jumlah itu, kira-kira 80 peratus peluang pekerjaan diwujudkan di Negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Karnival Kerjaya Peringkat Negeri Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Sabtu.
Menurutnya, penganjuran program itu bertujuan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah selain menggalakkan penglibatan aktif majikan.
“Apa yang paling penting kita mahu pastikan peluang pekerjaan dan kadar pengangguran yang ada di Negeri Sabah ini dapat kita turunkan dan kita tingkatkan peluang pekerjaan terutamanya di negeri kita,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Sabah bakal melancarkan Sabah Talent Development Centre (STDC) sebagai pusat sehenti pembangunan bakat dan latihan tenaga kerja.
Katanya, pusat itu akan memainkan peranan penting dalam memastikan latihan dan kemahiran yang diberikan benar-benar memenuhi kehendak industri.
“Kita akan melancarkan Sabah Talent Development Centre dan pusat sehenti ini akan memainkan peranan cukup signifikan bukan saja memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah, malah memastikan setiap latihan dan tindakan memenuhi cita rasa industri,” ujar beliau.
Beliau berkata, STDC akan diwujudkan di Kota Kinabalu dan dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh pembangunan modal insan di negeri ini.
Menurutnya, penubuhan pusat berkenaan juga selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memperkasakan peluang pekerjaan dan pembangunan bakat tempatan.
Tambah beliau, pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di setiap daerah utama Sabah turut memainkan peranan membantu pencari kerja melalui latihan, penyediaan resume dan bimbingan kerjaya.
