56 rakyat Sabah dapat kerja dalam tempoh empat jam

KOTA KINABALU: Seramai 56 pencari kerja berjaya memperoleh pekerjaan hanya dalam tempoh empat jam penganjuran Karnival Lindung Kerjaya MYFutureJobs Negeri Sabah 2026 di sini, hari ini.

Selain itu, sebanyak 126 pencari kerja turut berjaya melepasi tapisan awal temu duga menerusi karnival berkenaan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, program tersebut turut mencatat sejarah tersendiri apabila menghimpunkan 52 majikan, sekali gus menjadi jumlah penyertaan tertinggi pernah direkodkan bagi penganjuran di Sabah.

Menurutnya, PERKESO komited memperluaskan akses peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan secara berterusan di seluruh Sabah.

“Program seperti ini bukan bersifat bermusim, sebaliknya dilaksanakan secara berkala bagi memastikan lebih ramai rakyat Sabah memperoleh peluang pekerjaan yang sesuai,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Lindung Kerjaya MYFutureJobs Negeri Sabah Tahun 2026 di sini.

Beliau berkata, portal MYFutureJobs yang dikendalikan PERKESO kini merekodkan lebih 3.2 juta pencari kerja berdaftar di seluruh negara termasuk 253,805 pencari kerja dari Sabah.

“Sejak diperkenalkan pada tahun 2020, lebih 1.4 juta pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan melalui platform ini dengan 63,499 daripadanya melibatkan penempatan di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau percaya potensi besar anak muda Sabah mampu menjadi pemacu utama produktiviti negeri dan negara sekiranya terus diberikan peluang serta sokongan pembangunan kemahiran.

Majlis tersebut turut dihadiri Datuk, Khairul Firdaus Akbar Khan, Datuk Seri Panglima Safar Untong dan Datuk Mohd Razali Wahab.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama