KOTA KINABALU : Jabatan Kesihatan
Negeri Sabah (JKNS) masih memerlukan lebih ramai pakar perubatan bagi memenuhi
keperluan perkhidmatan kesihatan di negeri ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah,
Datuk Dr. William Gotulis berkata, keperluan itu turut melibatkan jawatan
Jururawat dan Penolong Pegawai Perubatan bagi menampung keperluan perkhidmatan
kesihatan yang semakin meningkat dan yang diperlukan di beberapa fasiliti
kesihatan.
"Sebenarnya jumlah itu
bergantung kepada kategori contohnya kepakaran, memang kita masih memerlukan
dan sentiasa berhubung dengan kementerian untuk memastikan bilangan kepakaran
itu bertambah.
"Memang kita masih perlu
jururawat dan penolong pegawai perubatan, tetapi kita sentiasa berhubung dengan
pihak berkaitan untuk memastikan bekalan itu mencukupi.
"Tetapi isu utama yang saya
lihat ialah pegawai perubatan dari Sabah sendiri sangat rendah. Hanya 30
peratus daripada doktor di Sabah adalah anak tempatan manakala 70 peratus lagi
dari luar Sabah," katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat
terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu,
pada Isnin.
William menjelaskan, selain
memperkenalkan diri, kunjungan tersebut adalah bertujuan untuk memberikan
informasi terkini terutama berkaitan dengan pembangunan JKNS.
Dalam pada itu, beliau memaklum
pihak JKNS kini meningkatkan pengawasan dalam menghadapi ancaman jangkitan
Hantavirus.
"Kami akan sentiasa
bekerjasama dengan KKM bagi mendapatkan informasi terkini berkaitan perkara
ini," ujarnya.
William dilantik sebagai Pengarah
Kesihatan Negeri Sabah yang baharu berkuat kuasa 21 Ogos 2025 menggantikan
Datuk Dr. Maria Suleiman yang bersara pada 26 Jun 2025.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
