KOTA KINABALU: Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan Bantuan
Kewangan Haji (HAFIS) secara bersasar dengan peruntukan RM210 juta bagi tahun
2026 bagi meringankan beban jemaah haji Muassasah.
Ketua Syariah Kumpulan TH, Imran Mohammad Khayat, berkata
menerusi inisiatif itu jemaah kumpulan B40 hanya perlu membayar RM15,000 atau
kira-kira 45 peratus daripada kos sebenar haji.
"Manakala kumpulan M40 membayar RM23,500 atau kira-kira
71 peratus.
"Secara keseluruhan TH telah memperuntukkan lebih
RM2.72 bilion menerusi HAFIS sejak diperkenalkan pada 2001," katanya
ketika berucap pada Kursus Perdana Haji Musim Haji 1447H/2026M Peringkat Negeri
Sabah (Zon Pantai Barat), pada Sabtu.
Di samping itu, beliau memaklumkan TH turut memperkenalkan
inisiatif ‘Menuju Istito’ah’ yang menekankan persediaan menyeluruh sebelum
menunaikan ibadah haji.
"Istito’ah merangkumi empat aspek utama iaitu kemampuan
kewangan, kesihatan, keselamatan serta kuota atau kebenaran menunaikan haji.
“Melalui inisiatif ini, TH menggalakkan umat Islam membuat
persediaan lebih awal melalui amalan menabung secara konsisten serta menjaga
kesihatan diri," ujarnya.
Tambah beliau, TH menggalakkan pendeposit membuat potongan
gaji atau potongan berkala melalui kaedah debit terus bagi memudahkan simpanan.
“TH turut menyediakan kalkulator simpanan haji di laman web
rasminya bagi membantu pendeposit merancang simpanan dengan lebih teratur,”
jelasnya.
Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan pendeposit
mempunyai simpanan mencukupi apabila tiba giliran menunaikan haji selain
menikmati manfaat seperti agihan keuntungan, pelunasan zakat, pematuhan syariah
dan jaminan kerajaan.
TH melaksanakan program ‘THoriq Ya Hajj’ yang menggalakkan
bakal jemaah kekal aktif dan cergas melalui aktiviti berjalan kaki dengan
pemantauan secara maya.
