KOTA KINABALU: Acara menembak bersama Yang di-Pertua Negeri
Sabah, Tun Musa Aman sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75
memperkukuh hubungan strategik antara kepimpinan tertinggi negeri dan pasukan
keselamatan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata program
itu mengeratkan silaturahim serta memperkukuh kerjasama antara agensi
penguatkuasaan dan kepimpinan negeri.
“Program seperti ini mencerminkan komitmen berterusan dengan
memupuk semangat setiakawan, disiplin serta ketangkasan dalam kalangan pasukan
keselamatan.
“Selain itu, ia juga satu penghormatan besar kepada warga
Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah untuk bersama-sama meraikan detik
bersejarah sempena ulang tahun kelahiran rasmi ke-75 Tun Musa selaku Yang
di-Pertua Negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di program berkenaan
yang berlangsung di Lapang Sasar Tertutup, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota
Kinabalu, pada Ahad.
Sementara itu, Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris
muncul johan kategori 15 meter dengan markah penuh 100 mata, manakala Datuk
Limus Jury menjuarai kategori 25 meter dengan 73 mata.
Tun Musa turut menerima Anugerah Penembak Terbaik pada
program sulung berkenaan.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan
Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Menteri Pendidikan, Sains,
Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib; Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir.
Shahelmey Yahya; serta Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab.
