KOTA KINABALU: Jemaah haji
diingatkan supaya sentiasa mematuhi nasihat petugas haji, menjaga pemakanan dan
tidak memaksa diri melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan kesihatan
sepanjang berada di Tanah Suci.
Ketua Menteri, Datuk Seri
Panglima Hajiji Noor berkata, jemaah perlu segera mendapatkan rawatan di klinik
Tabung Haji (TH) sekiranya tidak sihat.
"Dalam keadaan dunia yang
semakin mencabar termasuk perkembangan geopolitik di Asia Barat dan Timur
Tengah, jemaah haji dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta mematuhi segala
arahan yang ditetapkan.
"Sekiranya ada masalah atau
persoalan, segeralah berhubung dengan TH untuk mendapatkan sebarang maklumat,”
katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan
Muharam semasa merasmikan Kursus Perdana Haji Musim Haji 1447H/2026M Peringkat
Negeri Sabah (Zon Pantai Barat), pada Sabtu.
Hajiji turut mengingatkan jemaah
supaya menjaga reputasi baik jemaah haji Malaysia sepanjang berada di Tanah
Suci.
"Jemaah haji Malaysia
dikenali sebagai antara yang paling berdisiplin, tertib dan berakhlak baik.
“Reputasi ini perlu terus
dipelihara kerana jemaah bukan sahaja membawa nama baik diri sendiri, malah
mewakili Malaysia di umat Islam dari
seluruh dunia.
“Sepanjang berada di sana, jemaah
perlu sentiasa bersabar berdepan suasana yang berbeza berbanding di tanah air,
termasuk keadaan sesak dengan jutaan umat Islam serta cuaca panas dan berdebu,”
ujarnya.
Kursus Perdana Haji (KPH)
tersebut disertai 502 bakal jemaah haji dari Kota Kinabalu, Beaufort dan Kota
Belud.
KPH mempersiapkan bakal jemaah
haji dari aspek mental, fizikal dan kefahaman haji menerusi modul praktikal
manasik haji seperti tawaf, saie dan melontar jamrah.
