Lebih RM4.1 juta rampasan, 18 tangkapan termasuk warga asing operasi PGA di ESSZONE

FB Batalion PGA Lahad Datu.


LAHAD DATU: Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu mencatat kejayaan tinggi dengan merampas pelbagai barangan bernilai lebih RM4.1 juta sepanjang bulan Mac lalu.

Dalam tempoh itu, sebanyak 13 serbuan dilaksanakan menerusi Op Taring ESSZONE dan operasi risikan khas, membawa kepada penahanan 18 individu termasuk lapan warga asing.

Rampasan meliputi pelbagai kesalahan serius merangkumi dadah, penyeludupan rokok tanpa cukai, mercun haram, penyelewengan barang kawalan serta pemilikan hidupan liar dilindungi.

PGA Lahad Datu dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi dijalankan secara agresif dan berterusan berdasarkan risikan serta maklumat awam bagi mengekang aktiviti jenayah yang semakin kompleks di kawasan berkenaan.

Antara kejayaan terbesar ialah penahanan dua individu bersama rampasan 148 ekor burung liar dilindungi dan 64 sangkar di Jalan Dam pada 12 Mac, dengan nilai dianggarkan RM245,500 hasil kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Dalam serbuan berasingan pada 18 Mac di Kampung Burung, dua lelaki tempatan diberkas bersama mercun tanpa permit bernilai hampir RM500,000 termasuk dua lori yang digunakan sebagai pengangkutan.

Sementara itu, seorang lelaki warga asing turut ditahan pada 25 Mac di Felda Sahabat 2 selepas didapati memiliki dadah jenis syabu serta ratusan bungkus rokok kretek dipercayai diseludup.

Kesemua kes kini disiasat di bawah pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63.

Bagi suku pertama tahun ini, PGA Lahad Datu merekodkan jumlah rampasan keseluruhan sebanyak RM6.6 juta.

Katanya, PGA akan terus mempergiat operasi dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah di kawasan ‘ESSZONE’.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama