100 topi keledar percuma diagih secara tersasar, sasar golongan memerlukan


KOTA KINABALU: Sebanyak 100 unit topi keledar baharu diagihkan melibatkan dua lokasi iaitu Kampung Kopungit dan Taman Keramat, masing-masing menerima 50 unit, di sini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan merangkap Ahli Parlimen KK, Datuk Chan Foong Hin berkata Program Penggantian Topi Keledar Percuma ini dilaksanakan secara tersasar dengan memberi keutamaan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, termasuk penunggang motosikal dan penghantar makanan.

“Di Kampung Kopungit, seramai 45 dewasa dan lima kanak-kanak menerima manfaat, manakala di Taman Keramat melibatkan 39 dewasa serta 11 penunggang penghantar makanan (rider) yang dikenal pasti memerlukan.

“Berbeza dengan pendekatan sebelum ini yang dilaksanakan secara terbuka, program kali ini menggunakan kaedah lebih tersusun dengan mengenal pasti penerima melalui ketua kampung, ketua blok serta penilaian bersama pihak berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Menurutnya, inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah, dengan syarat penerima perlu membawa topi keledar lama yang rosak atau tidak menepati spesifikasi keselamatan untuk ditukar.

Beliau memaklumkan, pendekatan lebih tersasar ini diharap mampu meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya selain membantu mengurangkan risiko kecederaan serius dalam kalangan penunggang motosikal.

“Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama dan usaha ini diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif keselamatan komuniti pada masa akan datang,” ujarnya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama