Ketua Menteri saksi pertukaran MoU SOGDC-EA Gibson



Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Datuk Ir Shahelmey Yahya menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman antara SOGDC dengan rakan industri EA Gibson-Aboitiz Power Ltd di Menara Kinabalu pada Isnin.




KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima

kunjungan hormat delegasi Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn. Bhd.

(SOGDC) bersama rakan strategiknya serta menyaksikan pertukaran Memorandum

Persefahaman (MoU) bagi cadangan pembangunan hab tenaga di Sipitang Oil & Gas

Industrial Park (SOGIP), di pejabatnya di Menara Kinabalu, pada Isnin.


Kunjungan itu diadakan bersempena cadangan projek kerjasama antara SOGDC dan

EA Gibson, sebagai langkah strategik memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab

tenaga serantau.


Delegasi SOGDC diketuai Pengerusinya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, bersama Ketua

Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan, Encik Mohd Azmir Ramli serta ahli-

ahli lembaga pengarah.


Hadir sama wakil rakan strategik antarabangsa iaitu Ketua Pegawai Operasi Aboitiz,

Encik Anton Perdises; Ketua Pegawai Eksekutif Negara ACWA, Encik Matthew

Chandapillai; Pengarah EA Gibson, Encik Owen Bolton; Pengarah Eksekutif WEC,

Encik Mathew Lee; Pengarah Eksekutif Green Parrot (Abu Dhabi), Encik Miran Sepich;

serta Pengarah Projek Gas Department EA Gibson, Encik Tonci Tokic.


Dalam pertemuan itu, Hajiji dan Shahelmey turut menyaksikan pertukaran beberapa

MoU strategik dan komersial antara SOGDC dengan rakan industri termasuk ACWA

Power, Aboitiz Power Ltd dan WEC, yang merangka kerjasama awal bagi pembangunan

projek Hab Tenaga di SOGIP.


Menurut SOGDC, cadangan pembangunan tersebut merangkumi pembinaan hab

penyimpanan dan pengagihan tenaga bersepadu di kawasan seluas kira-kira 275 ekar,

termasuk kemudahan penyimpanan gas asli cecair (LNG), ammonia dan hidrogen,

selain pembangunan infrastruktur petrokimia serta penjanaan tenaga.


Sebagai komponen utama projek, kajian kebolehlaksanaan akan dilaksanakan bersama

ACWA Power bagi pembinaan loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT)

berkapasiti antara 400 hingga 500 megawatt (MW). Selain itu, Aboitiz Power Ltd sedang

meneliti pembangunan sistem grid penghantaran tenaga, manakala WEC

mempertimbangkan pembinaan jeti serta tangki simpanan.


Sementara itu, Saudi Aramco turut menyatakan minat awal untuk menyertai projek

berkenaan sebagai rakan strategik serta pembekal utama LNG bagi hab tenaga itu.


Hajiji berkata, inisiatif berkenaan selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk

memperkasa sektor tenaga sebagai pemacu utama ekonomi Sabah.


“Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan pembangunan hab tenaga ini kerana ia

bukan sahaja berpotensi menarik pelaburan berkualiti tinggi, malah mampu

mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta merangsang pertumbuhan industri

hiliran di Sabah.


“Kita komited untuk menyediakan persekitaran kondusif kepada pelabur, di samping

memastikan setiap pembangunan memberi manfaat langsung kepada rakyat dan

negeri,” katanya.


Menurut beliau, pembangunan SOGIP sebagai hab tenaga bersepadu juga akan

memperkukuh daya saing Sabah dalam industri minyak dan gas.


Inisiatif SOGDC dijangka meningkatkan kapasiti infrastruktur tenaga negeri, menarik

pelaburan bernilai tinggi serta menyokong pertumbuhan industri jangka panjang

khususnya di kawasan SOGIP.




Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama