![]() |
| Mustapha ketika ditemui media, di sini. |
Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud berkata, kemudahan itu merupakan hasil kerjasama antara PETRA dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), yang akan memberi manfaat kepada penduduk serta pembangunan baharu di kawasan Gudon.
Menurut beliau, kewujudan PPU tersebut bukan sahaja menampung keperluan elektrik semasa, malah mengurangkan beban ke atas pencawang sedia ada di Alam Mesra.
“Kawasan ini sedang berkembang dengan pembinaan pelbagai projek termasuk bangunan SPRM serta taman perumahan baharu.
“Jadi, PPU Gudon ini akan memastikan bekalan elektrik kekal stabil dan mencukupi,” katanya ketika ditemui media selepas melaksanakan lawatan ke tapak berkenaan, di sini, hari ini.
Beliau menambah, isu bekalan elektrik merupakan antara keutamaan utama rakyat Sabah selain bekalan air dan kemudahan jalan raya.
Dalam pada itu, Mustapha turut memaklumkan bahawa gangguan bekalan air di kawasan Alam Mesra dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) berpunca daripada kerosakan di beberapa lokasi, namun kerja pembaikan telah dilaksanakan.
“Ketika ini, pihak Jabatan Air Negeri Sabah sedang dalam proses menstabilkan bekalan air, dan bagi jangka masa pendek, bantuan lori tangki air dihantar ke kawasan terjejas,” jelasnya.
Mengulas isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah, beliau menegaskan bahawa rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan akan terus diteruskan walaupun proses mahkamah berjalan.
Katanya, satu jawatankuasa melibatkan Kementerian Kewangan dan kerajaan negeri akan ditubuhkan bagi meneliti hasil rundingan terdahulu sebelum keputusan penting dibawa ke peringkat Kabinet.
“Kita mahu memberi keyakinan kepada rakyat bahawa penangguhan bukan bermakna rundingan dihentikan. Proses ini akan terus berjalan bagi mencari penyelesaian terbaik,” ujar beliau.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk menyelaraskan perbincangan antara kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan tuntutan tersebut dapat direalisasikan.
