Gagal elak, dua maut motosikal rempuh belakang Proton Saga di Jalan UMS

KOTA KINABALU: Dua individu maut selepas motosikal dinaiki mereka merempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan UMS berhampiran Mini Putrajaya, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 pagi itu, motosikal jenis Yamaha Y15 yang dinaiki dua mangsa dipercayai gagal mengelak sebelum melanggar bahagian belakang sebuah Proton Saga.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki tempatan berusia 27 tahun itu bergerak dari arah Sepanggar menuju ke Alam Mesra.

“Ketika tiba di lampu isyarat Mini Putrajaya, pemandu terbabit membuat pusingan U sebelum meneruskan perjalanan di lorong tengah.

“Secara tiba-tiba, motosikal dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, impak pelanggaran menyebabkan penunggang motosikal terjatuh di lorong tengah, manakala pembonceng tercampak ke bahu kiri jalan.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II,” katanya.

Beliau berkata, identiti mangsa masih belum dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui dan usaha mengesan waris sedang giat dijalankan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk tindakan lanjut.

“Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala kedua-dua kenderaan terbabit ditahan untuk pemeriksaan lanjut oleh polis dan agensi berkaitan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan memandu secara berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Penunggang motosikal juga diingatkan supaya tidak menunggang secara berbahaya atau dalam keadaan laju yang boleh mengundang risiko kemalangan,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama