Graduan UMS diiktiraf majikan, bukti kualiti pendidikan bertaraf tinggi


Datuk Dr Kasim (empat kanan) hadir menerima pengiktirafan Talentbank Employers Choice 2026 baru-baru ini. Turut kelihatan Penolong Naib Canselor (Strategik) UMS, Professor Dr. Mohammad Saffree Jeffree (tengah).

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mengukuhkan reputasinya apabila diiktiraf sebagai antara peneraju kebolehpasaran graduan negara menerusi penilaian Talentbank Graduate Employability Index yang melibatkan lebih 1,200 majikan di seluruh Malaysia.

Naib Canselor UMS, Datuk Dr Kasim Mansor berkata, pencapaian itu membuktikan pendekatan universiti yang menekankan keselarasan antara pendidikan dan keperluan industri semasa.

“UMS bukan sekadar menawarkan pendidikan, tetapi menyediakan laluan jelas ke arah kerjaya masa hadapan.

"Graduan UMS bukan sahaja berilmu, malah diyakini industri dan bersedia menyumbang sebaik melangkah ke dunia pekerjaan.

“Pengiktirafan ini memberi mesej yang jelas kepada bakal pelajar dan ibu bapa bahawa memilih UMS merupakan pelaburan masa depan yang tepat,” katanya.

Dalam konteks persaingan pendidikan tinggi yang semakin sengit, penilaian berasaskan majikan kini menjadi penanda aras penting dalam menilai keberkesanan sesebuah institusi.

Dalam pada itu, UMS terus memperkukuh ekosistem akademiknya agar relevan dengan kehendak industri, sekali gus memastikan graduannya bukan sahaja memperoleh pekerjaan, tetapi turut menjadi pilihan utama majikan.

“Beberapa bidang pengajian turut diterima melalui pengiktirafan Talentbank 6-Star Employer Choice, termasuk pertanian, perbankan, kaunseling, pendidikan awal kanak-kanak, keusahawanan, sains makanan, pengurusan hospitaliti, pemasaran, sains sosial dan pelancongan,” jelasnya.

Katanya, UMS turut memperkasa pendekatan pendidikan berasaskan industri melalui integrasi pembelajaran dengan pengalaman kerja sebenar, kerjasama strategik bersama pemain industri serta pembangunan keusahawanan dalam kalangan pelajar.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga universiti, khususnya ahli akademik atas komitmen berterusan dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi.

“Para pensyarah dan ahli akademik merupakan tunjang utama dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu, tetapi juga mempunyai nilai, kemahiran dan jati diri yang tinggi,” ujarnya.

Beliau turut menghargai peranan Pusat Pembangunan Kerjaya dan Keusahawanan UMS (CEDeC) serta Pusat Pengurusan Strategik UMS yang disifatkan sebagai antara pemacu utama kejayaan universiti.

“CEDeC memainkan peranan penting dalam menjalin sinergi antara universiti dan industri melalui inisiatif kebolehkerjaan, pembangunan kerjaya dan keusahawanan pelajar, manakala Pusat Pengurusan Strategik memastikan setiap strategi universiti dilaksanakan secara terarah, berimpak tinggi dan berasaskan data. Kedua-duanya merupakan tonggak utama kepada kecemerlangan UMS,” tambahnya.

Seiring aspirasi sebagai “The Brain of Borneo”, UMS komited menawarkan pengalaman pembelajaran holistik yang menggabungkan kecemerlangan akademik, inovasi serta keunikan persekitaran Sabah.

“Pengiktirafan ini sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pilihan utama pelajar tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama