KOTA KINABALU : Kerjasama antara
Kerajaan Negeri Sabah dan Jepun dalam usaha melindungi alam sekitar terus
diperkukuh menerusi pelbagai inisiatif strategik termasuk sokongan teknikal dan
kewangan bagi pemuliharaan hidupan liar serta hutan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan
dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata hubungan erat itu kini
melangkaui sektor pelancongan dan budaya serta merangkumi aspek kelestarian
alam sekitar secara berterusan.
"Jepun melalui pelbagai
agensi dan yayasannya secara konsisten menyalurkan sumbangan setiap tahun bagi
membantu usaha pemuliharaan di negeri ini khususnya menerusi Jabatan Hidupan
Liar Sabah.
"Kerjasama ini amat penting
dalam memastikan kelestarian hutan dan biodiversiti negeri terus terpelihara
untuk generasi akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan
Pameran Kembara Kebudayaan 'I Love Sushi' di Muzium Tamadun Islam Sabah , pada
Jumaat.
Mengulas mengenai pameran itu,
Jafry berkata program anjuran The Japan Foundation itu menjadi platform terbaik
untuk memperkukuh hubungan budaya antara Malaysia dan Jepun menerusi medium
makanan yang bersifat universal.
Katanya, pameran itu memberi
peluang kepada orang ramai meneroka sejarah dan seni di sebalik pembuatan sushi
menerusi paparan visual serta pengalaman simulasi suasana kedai sushi yang
interaktif.
Sementara itu, Duta Besar Jepun
ke Malaysia, Shikata Noriyuki berkata sushi merupakan simbol budaya Jepun yang
mencerminkan nilai tradisi serta kreativiti, selain bertindak sebagai medium
untuk merapatkan hubungan masyarakat antarabangsa.
"Sushi melambangkan budaya
dan kreativiti serta menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat pelbagai
negara melalui pertukaran budaya," katanya.
Pameran yang julung kali diadakan
itu dibuka kepada orang ramai bermula 7 Mac hingga 7 Jun 2026 dengan kadar
bayaran masuk RM2 bagi pelawat tempatan dan RM15 bagi pelawat asing.
Hadir sama Setiausaha Tetap
Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Josie Lai Mei
Sing, Pengarah Jabatan Muzium Sabah Arif Abdul Hamid dan Pengarah The Japan
Foundation Kuala Lumpur Tsukamoto Norihisa.
