Rumah Tengkorak tarik tumpuan, Tenom bakal jadi ikon pelancongan baharu

Rumah Tengkorak dijangka siap sepenuhnya pada 6 Mei depan dengan kos RM825,559.60.

TENOM: Sabah terus memperkukuh pelancongan berasaskan warisan apabila pembangunan Pusat Kebudayaan Murut Sabah di daerah berkenaan dijangka muncul sebagai tarikan ikonik baharu, dengan elemen unik seperti Rumah Tengkorak menjadi fokus utama. 

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jafry Ariffin berkata, projek itu dirangka bagi mengangkat keunikan budaya masyarakat Murut melalui pendekatan pengalaman imersif kepada pengunjung.

“Pendekatan pembangunan projek ini berteraskan prinsip keaslian, penceritaan sejarah serta pengalaman ruang yang imersif, bagi memastikan pengunjung bukan sahaja melihat, tetapi benar-benar menghayati warisan budaya masyarakat Murut,” katanya.

Menurut beliau, Rumah Tengkorak yang dijangka siap sepenuhnya pada 6 Mei nanti dengan kos RM825,559.60 itu akan menjadi mercu tanda utama yang menempatkan pameran sejarah, artifak tradisional serta ruang tayangan bagi memperkenalkan asal-usul masyarakat Murut.

“Reka bentuk Rumah Tengkorak ini diterjemahkan secara simbolik sebagai lambang sejarah dan warisan, dengan susun atur ruang yang membawa pengunjung melalui satu perjalanan penceritaan budaya yang tersusun dan bermakna,” jelas beliau.

Sementara itu, projek berkenaan turut merangkumi pembinaan 10 pondok kuburan yang mewakili pelbagai sub-etnik Murut seperti Tagol, Timugon dan Tangara, dengan setiap satu menampilkan identiti seni bina tersendiri.

Menurut Jafry, pembangunan tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai produk pelancongan, malah menjadi platform pendidikan serta memberi manfaat ekonomi kepada komuniti setempat melalui aktiviti pelancongan budaya.

“Jafry yakin projek ini akan menjadi satu lagi ikon pelancongan budaya yang signifikan di Sabah, khususnya di Tenom, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelancongan berasaskan budaya dan warisan yang bertaraf dunia,” tambahnya.

Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan projek itu mengambil kira sensitiviti budaya serta mematuhi prinsip pemuliharaan warisan bagi memastikan kelestarian jangka panjang.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama