KOTA KINABALU : Dewan Bandaraya
Kota Kinabalu (DBKK) melancarkan secara rasmi Roadmap Pembangunan Enterprise
Architecture (EA) dan Super App DBKK sebagai langkah proaktif memodenkan sistem
penyampaian perkhidmatan awam di bandar raya ini.
Pembantu Menteri di Jabatan Ketua
Menteri, Datuk Joniston Bangkuai berkata pelan hala tuju tersebut merupakan
langkah strategik untuk memodenkan sistem penyampaian perkhidmatan awam di ibu
negeri Sabah.
"Ini juga salah satu rangka
kerja induk yang menyelaraskan komponen teras organisasi merangkumi sumber
manusia, proses, data, sistem dan teknologi seterusnya bertindak sebagai tulang
belakang kepada transformasi menyeluruh DBKK.
"EA berfungsi sebagai kompas
organisasi yang membimbing kita ke arah transformasi digital secara holistik
dan mewujudkan platform yang merapatkan jurang antara pengurusan atasan,
jabatan operasi serta pasukan teknologi.
“Kita tidak boleh membina
perkhidmatan digital yang hebat di atas asas yang rapuh. Pelan hala tuju ini
adalah blue print bagi memastikan sistem dalaman kita diselaraskan sebelum kita
beralih kepada pembangunan Super App DBKK,” katanya ketika berucap pada Majlis
Pelancaran Roadmap Pembangunan Enterprise Architecture (EA) dan Super App DBKK,
pada Ahad.
Menurut beliau, Super App DBKK
mengintegrasikan pelbagai saluran perkhidmatan di bawah satu bumbung dengan
prinsip 'satu platform, pelbagai saluran, sifar kerumitan'.
"inisiatif berkenaan akan
membolehkan warga Kota Kinabalu mengakses perkhidmatan DBKK pada bila-bila masa
dan di mana-mana sahaja, termasuk memudahkan urusan permohonan, pembayaran,
kelulusan serta maklum balas tanpa perlu hadir ke kaunter secara fizikal.
"Pendekatan pelbagai saluran
ini memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan, termasuk warga emas atau mereka
yang kurang mahir teknologi. Inilah janji kami untuk menyampaikan perkhidmatan
yang lebih pantas, telus dan berpaksikan rakyat," ujarnya.
Dalam pada itu, Joniston turut
merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh warga DBKK atas pengiktirafan sebagai
Smart City Early Adopter 2025 yang diterima daripada Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Oktober tahun lalu.
"Pencapaian itu mengukuhkan
lagi aspirasi Kota Kinabalu untuk menjadi bandar raya mesra digital yang
mampan, selaras dengan keperluan urbanisasi dan jangkaan awam yang semakin
meningkat.
“Keperluan untuk transformasi
kini bukan lagi satu pilihan, tetapi satu imperatif. Kita sedang meletakkan
asas untuk Kota Kinabalu yang lebih pintar dan gagah menerusi prinsip 'Satu
Bandar, Satu Data, Satu Hala Tuju',” katanya.
Joniston turut menzahirkan
penghargaan kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) selaku rakan kolaborasi
utama yang menyumbangkan kepakaran akademik dan teknikal dalam menjayakan
pembangunan pelan tersebut.
Hadir sama, Timbalan Menteri
Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin, Mayor Bandaraya Kota
Kinabalu Datuk Seri Dr. Sabin Samitah, Pengerusi SIRIM Berhad Datuk (Ir) Dr.
Khairol Anuar Tawi dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri
Malaysia, Datuk Dr. Abu Bakar Tariq.
