TUARAN : Kerajaan Negeri Sabah
akan melaksanakan pembangunan Pemetaan Budaya Etnik 2026-2030 bagi memastikan
khazanah kepelbagaian etnik dan budaya di negeri ini didokumentasikan secara
sistematik.
Ketua Menteri, Datuk Seri
Panglima Hajiji Noor berkata inisiatif berkenaan adalah merupakan langkah
proaktif kerajaan dalam memartabatkan warisan negeri selaras dengan aspirasi
pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
"Pembangunan negeri haruslah
berjalan seiring antara kemajuan ekonomi dengan pemeliharaan identiti budaya
tempatan agar warisan tersebut tidak hilang ditelan zaman.
"Usaha pendokumentasian
secara sistematik ini amat penting sebagai rujukan masa hadapan. Kita bukan
sahaja harus berbangga dengan identiti yang diwarisi sejak turun-temurun, malah
perlu berusaha mengekalkannya terutama dalam mendepani era globalisasi yang
mencabar," katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Mohd Kassim Razali sempena
majlis perasmian Karnival Pendidikan Adat Budaya Borneo Kali ke-4 di Pusat
Latihan Guru Sekolah Adat, Kampung Lumawang, pada Ahad.
Hajiji berkata, selain inisiatif
pemetaan tersebut, peranan institusi seperti Sekolah Adat Anak Negeri Sabah
amat signifikan dalam memulihara dan mempromosikan warisan merangkumi bahasa
ibunda, amalan adat serta tarian tradisi.
"Penganjuran karnival itu
pula bertindak sebagai platform unggul untuk memperkenalkan serta menyemai rasa
cinta terhadap warisan budaya dalam kalangan generasi muda.
"Selain itu, berperanan
memupuk semangat muhibah dan persefahaman dalam kalangan rakyat yang majmuk,
bukan sahaja di Sabah malah di seluruh Kepulauan Borneo," jelas
beliau.
Dalam pada itu, Ketua Menteri
turut merakamkan penghargaan kepada Sekolah Adat Anak Negeri Sabah dan Lembaga
Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) atas jalinan kerjasama strategik dalam
menjayakan agenda pemerkasaan budaya negeri.
Karnival yang berlangsung selama
tiga hari bermula 10 April itu berjaya menarik perhatian pengunjung melalui
pengisian pendidikan adat dan pameran 21 buah rumah etnik yang mempamerkan
keunikan tradisi masing-masing.
