![]() |
| Gambar close-up struktur fizikal spesies kulat baharu Pleurocordyceps cornusynnemata yang mempunyai bentuk menyerupai tanduk. |
Spesies yang dinamakan Pleurocordyceps cornusynnemata itu disahkan sebagai penemuan baharu dunia menerusi penerbitan dalam jurnal taksonomi antarabangsa, Phytotaxa.
Penemuan itu dibuat di Kawasan Pemuliharaan Danum Valley, Lahad Datu oleh pasukan dari Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS yang diketuai Prof. Madya Dr. Jaya Seelan Sathiya Seelan.
![]() |
| IHSAN: UMS |
“Selain penemuan spesies baharu ini, pasukan kami turut merekodkan dua spesies lain iaitu Pleurocordyceps aurantiaca dan Pleurocordyceps nipponica sebagai rekod pertama di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
![]() |
| Antara pasukan penyelidik UMS. |
Turut memainkan peranan penting dalam penemuan itu ialah seorang ‘citizen scientist’, Elyse Yang, yang menemui spesies berkenaan bersama pasukan penyelidik di kawasan Infapro, Danum Valley.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, kejayaan tersebut mencerminkan komitmen universiti dalam merealisasikan gagasan The Brain of Borneo serta memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab biodiversiti global.
“Ia membuktikan keupayaan saintis tempatan dalam menerajui penyelidikan berimpak tinggi yang mendapat perhatian komuniti sains antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Pengarah IBTP UMS, Prof. Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim menyifatkan penemuan tersebut sebagai bukti bahawa hutan hujan tropika Sabah masih menyimpan pelbagai spesies yang belum diterokai sepenuhnya.
Kajian berkenaan mendapat sokongan geran UMSGREAT serta kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah dan Yayasan Sabah di bawah Projek RMK12.
Spesimen kulat unik itu kini disimpan di pusat simpanan BORNEENSIS, IBTP UMS sebagai rujukan saintifik masa hadapan.


