Tidak wajar Fuziah umum ‘cukup jumlah’ bentuk kerajaan Sabah – DAP

 

PETALING JAYA: Tindakan Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh mengumumkan bahawa Pakatan Harapan (PH) bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah memperoleh sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan Sabah pada malam keputusan pilihan raya diumumkan disifatkan sebagai langkah tidak wajar oleh DAP.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata parti itu langsung tidak dimaklumkan mengenai sidang media berkenaan, malah tidak mengetahui pengumuman itu akan dibuat.

“Saya boleh katakan secara terbuka, tindakan itu salah sama sekali. Pengumuman sedemikian tidak sepatutnya dibuat dan ia hanya menjadikan kita bahan ketawa,” katanya seperti dipetik dalam satu audio siar berbahasa Cina, lapor China Press.

Menurut Loke, PKR hanya memenangi satu kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 29 November lalu, dan sebarang pengumuman berkaitan pembentukan kerajaan negeri wajar dibuat oleh parti yang memperoleh kerusi terbanyak.

“Pengumuman itu sepatutnya dibuat Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS. Jika mereka berjaya mendapatkan sokongan parti atau Adun lain, barulah pengumuman pembentukan kerajaan boleh dibuat,” katanya.

Pada malam pengundian, Fuziah mengadakan sidang media mendakwa PH dan GRS sudah memenuhi jumlah kerusi untuk menubuhkan kerajaan baharu Sabah.

Dalam keputusan PRN tersebut, PH hanya menang satu kerusi iaitu Melalap yang ditandingi calon PKR, manakala DAP tewas di semua lapan kerusi dipertandingkan.

Sebaliknya, GRS mencatat kemenangan terbesar dengan 29 kerusi dan seterusnya bergabung dengan Barisan Nasional (BN), UPKO serta lima calon Bebas bagi membentuk pentadbiran negeri.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama