SPR mesyuarat Selasa depan tentukan tarikh PRK Parlimen Kinabatangan, DUN Lamag

 

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas pada 16 Disember ini bagi membincangkan pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag susulan kematian penyandangnya, Bung Moktar Radin.

Setiausaha SPR, Khairul Shahril Idrus, berkata mesyuarat khas itu diadakan bagi menetapkan tarikh-tarikh penting PRK termasuk tarikh pewartaan Writ Pilihan Raya, hari penamaan calon dan hari pengundian.

Menurutnya, pemakluman rasmi mengenai kekosongan kerusi Parlimen Kinabatangan diterima daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 8 Disember 2025, manakala kekosongan kerusi DUN Lamag dimaklumkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah pada 9 Disember 2025.

“Selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 21(5) Perlembagaan Negeri Sabah, kekosongan itu perlu diisi melalui PRK dalam tempoh 60 hari dari tarikh pemakluman rasmi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mesyuarat khas itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Ramlan Harun dan satu sidang media akan diadakan sejurus mesyuarat tersebut berakhir.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama