KOTA KINABALU: Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Sabah, Chan Loong Wei hari ini membuat laporan polis susulan penyebaran surat palsu yang tular di media sosial yang didakwa melibatkan kepimpinan DAP Sabah.
Chan berkata, surat yang mempunyai dokumen tidak sah itu cuba mengaitkan Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe, kononnya menulis surat kepada Ketua Menteri bagi mencadangkan pelantikan ahli parti ke jawatan kerajaan.
“Tuduhan ini sama sekali tidak benar. Sejak tamat pilihan raya, DAP Sabah tidak pernah menghantar sebarang surat kepada Ketua Menteri atau mencadangkan mana-mana individu untuk jawatan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menjelaskan dokumen yang tular itu hanya kelihatan seperti gambar yang dirakam daripada skrin komputer, tanpa tandatangan, cop rasmi atau kepala surat parti, sekali gus menguatkan bahawa ia adalah palsu.
Menurut Chan, DAP Sabah dalam mesyuarat pada malam 7 Disember lalu telah sebulat suara menegaskan pendirian untuk tidak menyertai kerajaan negeri.
“DAP akan terus berpegang kepada prinsip berteraskan rakyat, tidak akan terpengaruh oleh maklumat palsu dan akan terus mara ke hadapan demi berkhidmat kepada rakyat,” jelasnya.
Chan turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan dokumen yang tidak disahkan dan meminta masyarakat lebih berhati-hati terhadap penyebaran maklumat palsu.
