KOTA KINABALU: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Lamag kini diisytiharkan kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, meninggal dunia pada Jumaat, 5 Disember lalu.
Perkara itu dimaklumkan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah menerusi kenyataan media hari ini, yang menjelaskan bahawa pemberitahuan rasmi mengenai kekosongan luar jangka tersebut telah dihantar kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah.
Menurut Speaker, tindakan itu dibuat selaras dengan Perkara 21(5) Perlembagaan Negeri Sabah yang memperuntukkan pemberitahuan kepada SPR apabila berlaku kekosongan kerusi DUN.
“DUN Sabah kini menyerahkan kepada SPR Sabah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Dalam pada itu, Speaker turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Allahyarham Bung Moktar merupakan ADUN Lamag dan pemergiannya turut dirasai ramai pihak khususnya dunia politik negeri.
