![]() |
| Sumber gambar: Google |
KOTA KINABALU: Seorang pelajar Tingkatan Dua maut selepas terkena tembakan senapang buatan sendiri atau bakakuk ketika bermain bersama rakannya di Jalan Kem PPH, Keningau, semalam.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai, berkata dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa dipercayai bermain bersama seorang rakan sebaya sebelum tembakan dilepaskan secara tidak sengaja dari jarak kira-kira tiga meter.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek ternampak mangsa memegang bakakuk di hadapan sebuah rumah tidak bernombor sebelum meminta untuk melihat senjata tersebut.
“Suspek kemudiannya mengacah-acah senjata itu sambil bermain sembunyi-sembunyi dengan menghalakan ke arah mangsa. Pada masa sama, mangsa bersembunyi di bawah kolong.
“Tanpa menyedari senjata itu mengandungi peluru, suspek dipercayai tertarik picu sehingga menyebabkan tembakan dilepaskan tepat ke arah mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Yampil berkata tembakan itu menyebabkan mangsa jatuh terlentang dan tidak lagi memberi sebarang reaksi, membuatkan suspek panik sebelum meminta pertolongan penduduk kampung untuk membawa mangsa ke hospital.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 8.40 pagi.
“Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami 14 kesan tembakan pada bahagian dada kanan, lengan kanan serta lutut kanan dan kiri.
“Luka berkenaan dipercayai berpunca daripada peluru penabur yang masih belum dikenal pasti jenisnya.
“Tiada saksi lain berada bersama mereka ketika kejadian berlaku dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
