![]() |
| Ewon (dua dari kiri) semasa sidang media selepas kunjungan tersebut. |
KOTA KINABALU: Sabah Investment Plan (SIP) akan dijadikan input rasmi pelan pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0).
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata cadangan tersebut akan diangkat ke kementeriannya sebelum dikemukakan sebagai input rasmi kepada pelan pembangunan SMJ 2.0.
"SIP menggariskan pelan hala tuju yang jelas untuk meletakkan Sabah sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif dalam tempoh lima tahun (2025 - 2030).
“Saya mengalu-alukan cadangan Invest Sabah untuk mengemukakan SIP dan seterusnya mencadangkan supaya ia dijadikan input kementerian bagi dimasukkan dalam Hala Tuju SMJ 2.0.
“Ini penting bagi memastikan agenda pelaburan negeri bergerak seiring dengan sasaran pembangunan ekonomi negeri,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan ke Invest Sabah, di Plaza Shell di sini, pada Isnin.
Ewon yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah turut menyampaikan wawasan kementerian, termasuk perancangan program promosi pelaburan ke pelbagai pasaran global bukan hanya tertumpu kepada China, tetapi turut merangkumi negara-negara Asia Tenggara, Eropah dan destinasi strategik lain.
"Peranan promosi pelaburan antara Invest Sabah dan Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA) perlu diselaraskan agar kedua-duanya mempunyai skop jelas terutama dalam memajukan taman-taman perindustrian negeri.
“Saya berhasrat untuk mengadakan satu perbincangan, supaya Invest Sabah diberi ruang sepenuhnya melaksanakan promosi pelaburan, manakala SEDIA memberi tumpuan khusus kepada pembangunan infrastruktur dan sokongan pelaburan dalam taman-taman perindustrian,” ujarnya.
Beliau berkata pendekatan itu harus dilaksanakan seiring dengan usaha mempromosi kawasan perindustrian sedia ada serta memperluaskan liputan ke daerah lain yang masih belum mempunyai taman perindustrian.
“Pelaburan yang masuk ke Sabah tidak boleh tertumpu hanya di taman-taman perindustrian di Kota Kinabalu, Sipitang, Lahad Datu, Kota Belud, Kudat dan Kimanis. Kita mahu limpahan pelaburan menjangkau seluruh Sabah,” tambahnya.
Hadir sama, Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Jonnybone J.Kurum, Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Thomas Logijin serta Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah, Firdausi Suffian.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
