Lantang di Parlimen, tapi di rumah sangat lembut — Shaheizy Sam

KOTA KINABALU: Adik ipar Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Shaheizy Sam berkongsi sisi peribadi pemimpin itu yang jarang diketahui umum.

Menurut Sam, beliau merupakan seorang yang lantang bersuara di parlimen tetapi sangat lembut hati, penyayang dan tidak pernah meninggikan suara ketika bersama keluarga.

“Apa yang kita nampak di Parlimen bukan dia yang sebenar di rumah. Dekat rumah, nak dengar dia marah pun susah. 

“Dia sangat lembut dengan anak-anak dan ahli keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan masjid Bandaraya Likas, hari ini. 

Menurut pelakon terkenal itu, berita Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya diterima pagi tadi oleh kakaknya.

Katanya, beliau menyedari keadaan Allahyarham yang nampak semakin lemah sejak tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu. 

“Saya dapat tahu arwah sudah semakin teruk sejak pagi semalam dan dapat tahu beliau meninggal pada waktu pagi ni melakui kakak saya.

“Saya jumpa arwah sehari sebelum mengundi. Memang nampak dia tidak seperti dulu, kurang tenaga dan tidak sihat,”jelasnya. 

Ketika ditanya mengenai peribadi Allahyarham sebagai seorang ipar, beliau menyifatkan Bung Moktar adalah seorang berkeperibadian yang lembut berbicara. 

“Kalau tanya saya, dia memang seorang abang ipar yang sempurna. Cara dia layan keluarga, cara dia jaga hubungan, memang lain daripada apa orang ramai bayangkan,” katanya.

Beliau berkata Bung Moktar juga dikenali sebagai pemimpin yang tidak pernah menolak permintaan rakyat setiap kali turun kawasan. 

“Kalau balik kawasan, memang ramai datang nak jumpa dia. Dia tak pernah cakap tak boleh. Sampai jam 4 pagi pun dia tetap jumpa orang.

“Dia selalu pesan apa pun jadi, kalau mahu berjaya, jaga mak. Itu yang paling saya ingat sampai sekarang,”ujarnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama