KOTA KINABALU: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.
Beliau menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada UMNO di peringkat nasional mahupun negeri Sabah
“Saya dan rakan-rakan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional berasa amat pilu dan sedih dengan pemergian Allahyarham, Kami kehilangan beliau yang amat sangat.
“Saya meminta agar keluarga beliau tenang, reda dan menerima qada dan qadar daripada Allah Ta'ala serta bersabar. Mudah-mudahan roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di perkarangan Masjid Bandaraya, di sini, pada Jumaat.
Menurut Zahid, arwah merupakan antara tokoh utama yang memastikan UMNO Sabah terus bertahan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
“Pada tahun 2018, beliau adalah tiga daripada 25 ketua UMNO bahagian yang terus cekal dalam UMNO dan menghidupkan UMNO kembali,”jelasnya.
Zahid menegaskan bahawa arwah memainkan peranan besar sebagai pemacu kebangkitan semula UMNO di Sabah dan turut memberi impak pada peringkat nasional.
“Beliau merupakan pemacu kepada kebangkitan semula UMNO di Negeri Sabah. Saya sangat bersyukur atas sumbangan beliau selama memimpin UMNO Sabah,”ujarnya.
