DAP Sabah tak sertai kerajaan negeri, surat tular hanya fitnah - Phoong

KOTA KINABALU: Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe menafikan dakwaan bahawa beliau telah menghantar surat kepada Ketua Menteri bagi mencadangkan pelantikan ahli parti ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah.

Menurutnya, 'surat' yang tular di media sosial sejak semalam adalah palsu dan langsung tidak mempunyai kaitan dengannya.

“Saya ingin tegaskan, sejak selepas pilihan raya, saya tidak pernah menghantar apa-apa surat kepada Ketua Menteri.

"Dokumen yang tular itu hanyalah draf tanpa tandatangan, tiada cop rasmi, dan jelas bukan surat yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Terdahulu, tular sebelum ini satu tangkap layar menyerupai draf surat bertarikh 5 Disember, dipercayai dirakam daripada skrin komputer, sehingga mencetuskan spekulasi kononnya DAP Sabah berminat menyertai kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Phoong menegaskan perkara itu bercanggah dengan keputusan parti kerana DAP Sabah pada malam 7 Disember telah bermesyuarat dan sekali lagi mencapai kata sepakat untuk kekal tidak menyertai kerajaan negeri.

“Pendirian itu turut dipersetujui oleh kepimpinan parti di semua peringkat. Tidak timbul sebarang cadangan atau perbincangan untuk memohon jawatan,” katanya. 

Beliau berkata, DAP Sabah kini memilih untuk memberi fokus kembali kepada rakyat dengan menjalankan peranan secara berperingkat bagi memulihkan keyakinan masyarakat.

“DAP Sabah akan terus berkhidmat, langkah demi langkah, demi mengembalikan kepercayaan rakyat,” katanya.

Phoong turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai dokumen tidak sah yang disebarkan di media sosial dan menggesa pihak berkuasa menyiasat penyebaran maklumat palsu tersebut.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama