Hajiji doakan kesembuhan Bung Moktar

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menzahirkan doa dan harapan agar Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin diberikan kesembuhan segera selepas dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu.

Hajiji dalam kenyataannya berkata beliau mengikuti rapat perkembangan kesihatan Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan berharap rawatan yang diberikan pasukan perubatan dipermudahkan.

“Saya mendoakan agar Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin diberikan kesembuhan segera serta dipermudahkan segala urusan rawatan beliau.

“Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan kepada beliau serta seluruh ahli keluarga dalam menghadapi ujian ini,” katanya.

Hajiji turut menyifatkan dugaan yang menimpa Bung Moktar sebagai ujian yang pasti membawa hikmah, dan berharap beliau kembali pulih seperti sediakala.

“Sesungguhnya setiap dugaan ada hikmahnya. Insha-Allah, mudah-mudahan beliau segera pulih dan kembali meneruskan tanggungjawab serta khidmat kepada rakyat,” katanya.

Bung Moktar, yang baru dipilih semula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag pada Pilihan Raya Umum Sabah (PRU Sabah) 29 November lalu, kini menerima rawatan rapi setelah dimaklumkan berada dalam keadaan kritikal oleh keluarganya.

Hajiji turut mengajak rakyat Sabah untuk bersama-sama mendoakan kesembuhan pemimpin berpengalaman itu.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama