KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor, Datuk Ben Chong Chen Bin menafikan dakwaan tiga ADUN Warisan kononnya beliau menghina masyarakat Cina ketika mengulas isu pelantikan wakil komuniti itu dalam Kabinet Sabah.
Terdahulu, tiga ADUN Warisan ADUN Elopura Calvin Chong, ADUN Karamunting Alex Wong, dan ADUN Tanjong Papat Alex Thien mendakwa Ben Chong mengatakan masyarakat Cina ‘tidak layak’ dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri kerana menyokong pembangkang.
Ben Chong yang juga wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata tuduhan tersebut jelas merupakan cubaan pembangkang memutar belit kenyataan asalnya demi keuntungan politik sempit.
“Tuduhan bahawa saya menghina masyarakat Cina adalah tidak berasas dan berniat jahat.
"Saya mewakili kawasan majoriti Cina dan sudah lama berkhidmat untuk masyarakat ini. Tidak pernah sekalipun saya merendahkan kedudukan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menjelaskan situasi sebenar, Ben Chong menegaskan kenyataan beliau merujuk kepada realiti politik pasca pilihan raya, bukannya mempertikai merit atau kelayakan mana-mana kaum.
“Keputusan pelantikan adalah prerogatif Ketua Menteri berdasarkan pertimbangan politik semasa. Ia langsung tidak ada kena-mengena dengan mana-mana kaum,” katanya.
Beliau menyifatkan tindakan Warisan memetik sebahagian kenyataan tanpa konteks sebagai usaha membangkitkan sentimen perkauman.
“Ini politik sempit. Mereka ambil satu frasa dan ketepikan keseluruhan penjelasan saya. Beginilah cara Warisan bermain isu kaum untuk menimbulkan kemarahan,” katanya.
Menurutnya, GRS komited kepada prinsip perkongsian kuasa dan sentiasa menghargai peranan masyarakat Cina dalam pembangunan Sabah.
“GRS tidak pernah mengetepikan mana-mana kaum. Ketua Menteri berulang kali menegaskan penyertaan semua komuniti, termasuk masyarakat Cina, dalam pentadbiran negeri,” katanya.
Ben Chong turut menolak dakwaan bahawa beliau pernah berjanji kedudukan kepada mana-mana pihak atau mengkhianati mandat pengundi.
“Saya tidak pernah menjanjikan apa-apa jawatan. Itu satu lagi fitnah. Pengundi Tanjong Kapor memilih saya berdasarkan rekod khidmat, bukan kerana politik sempit,” katanya.
Beliau menyeru semua pihak menghentikan politik perkauman dan memberi ruang kepada kerajaan baharu membina kestabilan negeri.
“Pilihan raya sudah selesai. Ini masa untuk membina semula Sabah, bukan menyemai perpecahan. Saya berharap Warisan berhenti memfitnah dan memainkan emosi kaum,” katanya.
