KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu.
Perkara itu dimaklumkan anaknya, Naim Kurniawan Moktar, yang juga Bendahari Pemuda UMNO.
Menurut Naim, keadaan kesihatan Ahli Parlimen Kinabatangan itu memerlukan perhatian rapi daripada pasukan perubatan, namun punca sebenar beliau dimasukkan ke hospital masih belum dapat dipastikan.
“Kami sekeluarga tetap berharap dan berdoa agar ayah kembali pulih sepenuhnya. Pasukan perubatan sedang memberikan rawatan terbaik yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi FMT.
Bung Moktar, yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, baru sahaja dipilih semula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag bagi penggal kedua pada Pilihan Raya Negeri Sabah, 29 November lalu.
Beliau merupakan antara tokoh politik Sabah yang paling lama berkhidmat, memegang kerusi Parlimen Kinabatangan selama enam penggal.
Setakat ini, pihak keluarga dan UMNO Sabah meminta semua pihak menghormati ruang serta privasi dan terus mendoakan kesembuhan beliau.
