KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah yang baharu.
Menurut Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Jafry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, dilantik menerusi persetujuan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi selaras dengan Fasal 12.5 Perlembagaan parti.
Turut dilantik dalam barisan kepimpinan baharu itu ialah Datuk Mohd Hasnol Ayub sebagai Timbalan Pengerusi dan Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop sebagai Setiausaha.
“Pelantikan itu bertujuan memastikan kesinambungan pentadbiran, memperkukuh penyelarasan parti serta mengkoordinasikan gerak kerja UMNO di Sabah secara lebih tersusun dan berkesan.
“UMNO menyeru seluruh kepimpinan dan ahli parti agar memberikan sokongan penuh kepada barisan kepimpinan baharu ini demi memastikan parti terus berkhidmat kepada rakyat dan mendukung kerajaan Negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jafry dilantik bagi menggantikan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia, pada Jumaat lalu.
