Agenda 'Sabah First' Pacu Ekosistem Usahawan Sabah – Ewon

 

Ewon ketika ditemui media di Plaza Ramayah.
PENAMPANG : Agenda Sabah First menjadi hala tuju utama Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan, perindustrian dan logistik Sabah.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, fokus utama kementeriannya kini adalah untuk membangunkan persekitaran yang mesra pelabur, mesra usahawan dan mesra peniaga, termasuk usahawan mikro, bagi memastikan lebih ramai rakyat Sabah mampu menjana pendapatan sebagai usahawan ataupun pekerja dalam sektor keusahawanan.

"Saya tidak mahu Sabah terus dianggap negeri dengan daerah termiskin maka salah satu usaha mengatasi isu ini adalah melahirkan lebih ramai rakyat Sabah yang berpendapatan melalui pembangunan ekosistem keusahawanan dan perindustrian yang lebih baik.

"Agenda tersebut turut menekankan peningkatan kualiti produk dan perkhidmatan usahawan Sabah agar mampu bersaing di peringkat luar, selain meningkatkan keberkesanan penyampaian kementerian serta agensi-agensi berkaitan," katanya ketika ditemui media sejurus merasmikan pembukaan bilik pameran dan jualan MyRoofHub di sini, pada Khamis.

Dalam masa yang sama, Ewon berkata portfolio pengangkutan yang kini diletakkan di bawah kementeriannya merupakan pelengkap penting kepada pembangunan ekosistem keusahawanan khususnya dari segi logistik, pelabuhan dan pengangkutan kereta api yang menjadi keperluan utama pemain industri.

"Apabila logistik dan pelabuhan berada dalam satu kementerian bersama pembangunan industri dan keusahawanan, ia memudahkan fokus dan penyelesaian terhadap cabaran pelabur, terutama mereka yang perlu mengeksport produk atau membawa masuk bahan mentah untuk diproses di taman perindustrian," katanya sambil menghargai keputusan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menggabungkan portfolio tersebut.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri III turut memaklumkan bahawa sebagai Exco Pengangkutan, beliau akan turut menyelaras isu berkaitan agensi persekutuan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan dan lain-lain agensi berkaitan, bagi memastikan penyampaian perkhidmatan lebih efisien dan bersepadu.

Mengulas mengenai pembukaan bilik pameran dan jualan MyRoof Hub, katanya pusat sehenti pertama di Sabah itu menawarkan penyelesaian lengkap berkaitan peralatan pembinaan terutama atap bangunan untuk pemilik rumah, kontraktor, pemaju dan pemain industri pembinaan.

"MyRoofHub yang dibangunkan oleh usahawan daerah tersebut menjadi satu kebanggaan dan motivasi kepada usahawan tempatan, selaras dengan usaha kerajaan negeri memperkukuh jaringan perniagaan serta pembangunan perusahaan Sabah.

"Saya berbangga kerana ia dibangunkan oleh usahawan tempatan, dan saya yakin ia akan menjadi inspirasi kepada usahawan-usahawan lain untuk terus maju dalam bidang pembinaan dan keusahawanan," katanya. 

Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Thomas Logijin dan Pemilik MyRoofHub, Patrick Chiam./Penerangan-

(JABATAN PENERANGAN SABAH)

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama