Aliakbar nyatakan sokongan kepada Hajiji

Foto Facebook Dr Aliakbar Gulasan

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan memilih untuk menyokong pentadbiran Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor meskipun tidak menganggotai Kabinet negeri.

Tindakan itu disahkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang berkata Aliakbar bukan muka baharu dalam pentadbiran Hajiji kerana pernah berkhidmat sebagai Adun lantikan sebelum ini.

“Sekarang beliau sudah dipilih rakyat, jadi keputusan ini akan bantu beliau menjalankan tugas sebagai Adun Karambunai.

“Walaupun tidak berada dalam Kabinet, beliau tetap diberi mandat menyokong apa sahaja usaha baik kerajaan bagi kepentingan rakyat,” katanya ketika dihubungi FMT, hari ini. 

Namun kenyataan itu bercanggah dengan pengumuman Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang menyatakan Aliakbar akan berada dalam blok pembangkang.

Tuan Ibrahim menjelaskan langkah berkenaan diambil bagi mengukuhkan kepimpinan serta memastikan kestabilan pentadbiran Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Menurutnya, keputusan itu akan dimaklumkan kepada kepimpinan tertinggi PAS dan dibawa ke mesyuarat PN dalam masa terdekat.

Aliakbar mencipta sejarah apabila memenangi kerusi pertama PAS di Sabah pada PRN 29 November lalu dengan memperoleh 7,054 undi dalam saingan 11 penjuru. 

Beliau menewaskan calon Warisan (6,689 undi), Gabungan Rakyat Sabah (4,818 undi) dan Barisan Nasional (4,475 undi).

GRS muncul gabungan terbesar dengan 29 kerusi sebelum bekerjasama dengan Pakatan Harapan, BN, Upko dan lima Adun Bebas bagi membentuk kerajaan negeri.

Warisan yang menang 25 kerusi pula kekal sebagai blok pembangkang bersama Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Jeffrey Kitingan yang mempertahankan kerusi Tambunan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama