KOTA KINABALU: Isu jambatan Pan Borneo di Pakej Kerja 02 yang tular sebagai ‘projek terbengkalai’ akhirnya terjawab apabila JKR Sabah mendedahkan punca sebenar kelewatan adalah pertikaian kontrak yang berlarutan lebih dua tahun.
Menurut JKR Sabah, kontraktor projek mempertikaikan kos beam launching yang didakwa tidak termasuk dalam harga kontrak, sebelum enggan meneruskan kerja di tapak sehingga isu itu diputuskan.
“Mengikut syarat kontrak, kontraktor wajib menyiapkan projek dan sebarang tuntutan perlu melalui proses arbitrasi.
"Oleh kerana mereka enggan sambung kerja, kerajaan setuju bawa kes ini ke arbitrasi,” kata kenyataan itu.
Pertikaian tersebut kemudian dirujuk ke Asian International Arbitration Centre (AIAC) dan mengambil masa 28 bulan untuk diselesaikan bermula 17 Oktober 2022 hingga 14 Mac 2025.
Akhirnya keputusan arbitrasi memihak kepada kerajaan, yang menegaskan kos beam launching memang termaktub dalam kontrak asal.
Katanya, selepas keputusan itu, kontraktor bersetuju menyambung semula kerja pada Jun 2025. Namun, kerja terpaksa dihentikan lagi selepas timbul beberapa cabaran teknikal di lapangan.
“Kontraktor sedang mencari penyelesaian teknikal dan kerja dijangka bersambung pertengahan Januari 2026,” katanya.
JKR Sabah menegaskan Sektor Pan Borneo sentiasa komited memastikan projek mematuhi spesifikasi teknikal dan mengikut jadual demi keselamatan serta kepentingan pengguna jalan raya.
Perkembangan lanjut dijangka dimaklumkan dari semasa ke semasa.
