KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan menjelaskan keputusan parti itu menyokong kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dibuat berdasarkan kehendak majoriti ahli serta ketua-ketua bahagian STAR.
Menurutnya, langkah tersebut diambil bagi memastikan kestabilan politik negeri susulan GRS tidak memperoleh jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan secara sendiri.
“GRS mencadangkan pembentukan kerajaan perpaduan demi kestabilan politik dan perkara itu turut menjadi hasrat STAR.
"Maka adalah wajar untuk kami memberikan sokongan. Pilihan raya sudah berakhir dan kini tiba masanya untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Jeffrey turut menegaskan sokongan berkenaan tidak menjejaskan pendirian STAR yang sentiasa konsisten memperjuangkan hak Sabah sama ada sebagai kerajaan atau pembangkang.
Beliau berkata demikian meskipun seorang ADUN STAR, Ishak Ayub, diumumkan sebagai pembantu menteri pada hari sama.
Jelasnya, beliau tetap memilih untuk kekal berada di blok pembangkang.
Dalam kenyataan berasingan, Jeffrey berkata STAR bukan sebahagian daripada GRS, namun membantu gabungan itu membentuk kerajaan perpaduan selepas PRU17 demi memastikan kestabilan politik seperti diinginkan rakyat.
“Kita bukan duduk dalam GRS, tetapi kita bantu GRS tubuh kerajaan perpaduan demi kestabilan politik selepas PRU17 kerana itulah yang rakyat mahukan berdasarkan keputusan pilihan raya,” katanya. <This message was edited>
