KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Bersatu (UPKO) mengumumkan akan bertanding sebanyak 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Presiden UPKO, Datuk Ewon berkata akan memimpin semua calon terbabituntuk memperjuangkan manifesto dan agenda “Sabah First” seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Saya juga akan memimpin calon-calon UPKO ini menawarkan kepimpinan berprinsip dengan tanda aras serta petunjuk prestasi kepada setiap mereka agar sentiasa melakukan yang terbaik untuk rakyat Sabah.
"Saya juga akan memimpin calon-calon ini untuk memperjuangkan pelaksanaan hak 40 peratus Sabah.
"Ini kerana dengan pembayaran semula hasil kita tersebut, kita boleh gunakan untuk membangunkan infastruktur dan ameniti, membangunkan ekonomi dan keusahawanan, membasmi kemiskinan dan mensejahterakan rakyat Sabah dengan lebih berkesan.
"Saya dan semua calon-calon UPKO ini memohon sokongan seluruh rakyat Sabah," katanya.
Antara kerusi yang bakal dipertandingkan melibatkan DUN Bengkoka, Bandau, Tandek, Kadamaian, Tamparuli, Kiulu, Inanam, Tanjung Aru, Petagas, Tanjung Keramat, Kapayan, Moyog dan Limbahau.
Selain itu, UPKO akan turut bertanding bagi kerusi Membakut, Kundasang, Karanaan, Bingkor, Liawan, Melalap, Tulid, Nabawan, Telupid, Labuk, Gum-Gum dan Kuamut.

