PUTRAJAYA: Rundingan pertama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah berhubung tuntutan hak 40 peratus hasil bersih negeri itu akhirnya dijadualkan berlangsung Isnin ini di Menara Kinabalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, yang dilantik sebagai wakil Sabah dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKTMTPMA63), mengesahkan perkara tersebut.
Beliau berkata sesi pertama rundingan itu akan digerakkan pada peringkat pegawai dan diketuai Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Johan Mahmood Merican, bagi pihak Kerajaan Persekutuan.
“Bagi Sabah, ia akan diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong memandangkan kerajaan negeri kini berada dalam status ‘caretaker’,” katanya.
Armizan berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet bersama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi turut mengulas mengenai kedudukan Datuk Ewon Benedick yang menghantar surat peletakan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Menurutnya, Ewon ketika ini berada dalam tempoh bercuti.
“Saya tidak ada angka tepat berapa lama beliau bercuti, namun perkara itu ada dibangkitkan dalam mesyuarat,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Kerajaan Persekutuan tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung Pemberian Khas Negeri Sabah berdasarkan 40 peratus hasil, susulan tindakan semakan kehakiman yang difailkan Sabah Law Society (SLS).
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudian menjelaskan kerajaan hanya merayu sebahagian keputusan yang didakwa mempunyai beberapa kekhilafan dalam alasan penghakiman.
Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menegaskan Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan serta membayar semula hak tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah sebagaimana termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
