KOTA KINABALU: “Rakyat Sabah bukan bahan jenaka.” Itu teguran tegas Pengarah Eksekutif Gardenia Bakeries (East Malaysia) Sdn Bhd, Datuk Dexter Lau, susulan kenyataan seorang pemimpin politik yang dianggap memperlekeh rakyat negeri ini.
Dexter berkata, kenyataan yang merendah-rendahkan rakyat Sabah, walaupun dilontarkan secara gurauan atau tanpa niat, tetap memberi kesan besar dan tidak sepatutnya keluar daripada mulut mana-mana pemimpin.
“Rakyat Sabah bermaruah, bijak dan mampu membuat penilaian sendiri.
"Apa sahaja kenyataan yang memperlekeh atau merendahkan rakyat Sabah, sama ada sengaja atau tidak, memang tidak boleh diterima,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Isu itu hangat diperkatakan selepas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria, didakwa menyebut dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bahawa ‘memberi roti Gardenia sudah cukup untuk meraih sokongan rakyat Sabah’.
Kenyataan itu mengundang kecaman meluas di seluruh negara dan mencetuskan rasa tersinggung dalam kalangan rakyat Sabah yang menganggap ia satu penghinaan terhadap kecerdikan mereka dalam membuat pilihan politik.
Dexter berkata insiden itu harus menjadi pengajaran kepada semua pemimpin politik untuk lebih berhati-hati sebelum bersuara.
“Budaya politik perlu dibina atas rasa hormat. Sensitiviti terhadap rakyat berbilang negeri dan budaya mesti menjadi asas dalam setiap wacana awam,” katanya.
