Tiga hari sebelum penamaan calon, PHRS gantung keahlian Rina Jainal tiga tahun

 

TAWAU: Tiga hari sebelum hari penamaan calon, Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) menggantung jawatan Timbalan Presidennya, Datuk Rina Haji Jainal, serta keahlian dalam parti itu untuk tempoh tiga tahun, berkuat kuasa serta-merta.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PHRS, Christy Chok Lee Lui, dalam satu surat rasmi kepada Rina yang menjelaskan keputusan tersebut dibuat selepas siasatan oleh Jawatankuasa Disiplin PHRS mendapati wujud pelanggaran serius terhadap disiplin parti.

Katanya, hasil siasatan yang dijalankan pada 29 Jun 2024 telah dibentangkan kepada Majlis Tertinggi PHRS, yang kemudiannya menerima syor agar tindakan tegas diambil berdasarkan bukti-bukti kukuh yang diperoleh.

“Walaupun pada masa tersebut, parti masih memberi ruang kepada YBhg. Datuk (Rina), namun tindakan berterusan beliau telah menghancurkan nama baik parti sehingga masyarakat luar, khususnya di Kukusan, terpengaruh dengan lontaran fitnah dan tohmahan terhadap PHRS serta Tan Sri Presiden parti,” katanya.

Menurutnya, PHRS memandang serius tindakan yang didakwa mencemarkan imej parti dan menjejaskan kepercayaan akar umbi.

“Justeru, keputusan menggantung jawatan dan keahlian itu diambil bagi menjaga maruah serta disiplin parti.

“PHRS mengambil keputusan untuk menguatkuasakan syor Jawatankuasa Disiplin dengan menggantung jawatan Timbalan Presiden dan keahlian Rina untuk tempoh tiga tahun, berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Keputusan berkenaan sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kedudukan Rina dalam parti yang semakin dipersoalkan sejak kebelakangan ini.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama