TAWAU: Gagasan Rakyat Sabah (GRS) menamakan anak kepada bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Tan Sri Syed Abas Syed Ali, sebagai calon parti itu bagi kerusi DUN Balung pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17 yang dijadual berlangsung 29 November ini.
Syed Ahmad Syed Abas, 44, yang juga seorang jurutera dan Pengarah Urusan sebuah syarikat tempatan, selain memegang jawatan sebagai Naib Ketua Bahagian GRS Balung.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan dianggap antara calon profesional muda yang berpotensi membawa pendekatan baharu dalam kepimpinan GRS di peringkat akar umbi.
Penglibatan Syed Ahmad dalam politik dilihat sebagai penyambung legasi keluarga, memandangkan bapanya, Tan Sri Syed Abas, pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung selama tiga penggal (2004–2018) serta Speaker DUN Sabah dari 2015 hingga 2020.
Pengumuman rasmi pencalonan beliau dibuat oleh Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, pada Majlis Pengumuman Calon GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, hari ini.
Pada PRN Sabah 2020, kerusi DUN Balung dimenangi Datuk Hamild @ Hamid Awang, yang ketika itu bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 580 undi, menewaskan enam pencabar lain sebelum menyertai GRS pada 2023.
Pencalonan Syed Ahmad dijangka menyuntik semangat baharu kepada jentera GRS di kawasan Balung, selain memperkukuh keyakinan parti untuk mengekalkan penguasaan di kawasan itu menjelang hari penamaan calon pada 15 November ini.
