Jordan dakwa mangsa ’prank’ Presiden STAR, tidak tercalon PRU Sabah


KOTA KINABALU: Ketua Exco Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Jordan Jude Ellron hari ini mengumumkan perletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta dan menyatakan hasrat bertanding sebagai calon bebas di kerusi Dewan Undangan (DU) Tulid.

Beliau berkata, keputusan terbabit dibuat atas prinsip kecewa dengan kepimpinan parti yang tidak memberi ruang kepada golongan muda untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17 akan datang.

“Tiada satu pun kerusi diberi peluang kepada Exco Wiramuda STAR untuk bertanding. Tiada anak muda diberi ruang, semuanya hanya pejuang lama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan sebelum ini mengumumkan beliau sebagai bakal calon di DU Tulid pada majlis di Sokid Villa, Oktober lalu.

Malah, menurutnya pengesahan dibuat dalam mesyuarat Biro Politik parti.

Walau bagaimanapun, janji terbabit tidak ditunaikan walaupun beliau telah menggunakan wang sendiri bagi menyediakan bahan kempen serta membayar deposit pencalonan.

“Bahan kempen seperti baju dan bendera saya dermakan kepada calon-calon STAR lain. Belum tentu orang lain sanggup buat sebegitu,” katanya.

Beliau turut mendakwa Timbalan Exco Wiramuda STAR, Razidin Robert, yang diumumkan dua kali sebagai calon di DU Bingkor, turut tidak dicalonkan walaupun disahkan Biro Politik.

Katanya, walaupun banyak berkhidmat di kawasan Pensiangan, ada segelintir pemimpin lama yang bersikap “toksik” cuba mengaitkannya sebagai pengkhianat parti.

Beliau turut menolak cadangan supaya bertanding di DU Sook kerana tidak mahu langkah itu menjejaskan hubungan kekeluargaan, selain menganggapnya sebagai “misi bunuh diri politik”.

“Jika saya dan timbalan boleh diumumkan secara terbuka sebagai calon tetapi akhirnya ‘diprank’, apa lagi yang boleh diharap oleh ahli di peringkat bawahan?” katanya.

Beliau berkata, keputusan bertanding atas tiket bebas dibuat bagi memberi peluang kepada rakyat menentukan kepimpinan di kawasan itu.

Selain itu, beliau turut berharap Jeffrey membuka mata agar kesilapan sama tidak berulang kepada generasi muda akan datang.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama