TAWAU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan, Datuk Rina Haji Jainal, malam ini membuat kejutan apabila mengumumkan akan mempertahankan kerusi tersebut sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 29 November ini.
Pengumuman itu sekali gus mengesahkan beliau tidak lagi bertanding atas tiket Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), susulan keputusan parti tersebut menggantung jawatan dan keahliannya hanya tiga hari sebelum hari penamaan calon.
Rina berkata, keputusan nekad itu dibuat selepas meneliti situasi politik yang dihadapinya sejak beberapa hari lalu yang disifatkannya sebagai tekanan dalaman dan tindakan yang mengejutkan.
"Saya memilih untuk mengambil langkah dan menjaga prinsip peribadi dan integriti untuk sentiasa bersikap profesional.
"Keputusan untuk menjarakkan diri daripada perjalanan politik parti saya sebelum ini bukanlah sesuatu yang mudah, namun ia diperlukan bagi memastikan saya bebas daripada sebarang tekanan atau kepentingan politik yang boleh menjejaskan fokus utama saya terhadap rakyat," katanya dalam sidang media khas di kediamannya di sini, malam ini.
Mengulas lanjut, Rina menegaskan fokusnya kini adalah memastikan kesinambungan pembangunan dan agenda kesejahteraan rakyat Kukusan tidak terhenti akibat kemelut politik yang berlaku secara tiba-tiba.
Jelasnya, beliau membuat keputusan untuk tampil sebagai calon bebas atas sokongan padu daripada jentera kerja serta masyarakat Kukusan yang telah lama mengikuti usaha dan komitmen saya sebagai wakil rakyat.
"Pada pagi esok, saya akan menyerahkan borang pencalonan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia di Dewan SRJK(C) Yuk Cin sebagai tanda komitmen untuk terus berkhidmat di DUN Kukusan.
"Saya memilih bertanding atas tiket BEBAS kerana ingin memastikan tindakan saya adalah selaras dengan perjuangan saya iaitu setia kepada rakyat," tegasnya.
Pada masa sama beliau turut menyeru warga Kukusan supaya terus memberi kepercayaan dan sokongan demi kesinambungan kerja-kerja yang telah dilaksanakan.
