Pertembungan abang adik rebut kerusi Petagas

Awang Ahmad Sah Sahari (kiri) Dan Awang Husaini Sahari (kanan) di Pusat Penamaan Calon PRU Dewan Undangan Sabah ke17 di Putatan

PUTATAN: Penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas hari ini muncul antara kisah paling panas PRN Sabah ke-17 apabila tiga ahli keluarga besar turun sebagai calon, masing-masing dengan parti dan penyokong berbeza.

Tumpuan utama terarah kepada bekas ADUN, Datuk Awang Ahmad Sah, yang mengesahkan bertanding sebagai calon Bebas selepas meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Keputusan itu sekali gus menjadikan perebutan kerusi Petagas semakin menarik apabila adiknya, Awang Husaini Sahari, turut dijangka bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tidak cukup dengan itu, suasana di pusat penamaan calon semakin hangat apabila penyandang lama kerusi berkenaan, Datuk Uda Sulai, yang juga bapa saudara kepada dua beradik tersebut, hadir sebagai calon Parti Warisan.

Pertembungan sesama keluarga itu menjadikan Petagas antara kerusi paling unik dan mendapat perhatian ramai pada penamaan calon PRN kali ini.

Walaupun ada persaingan darah daging, keadaan di luar dewan kekal tertib dengan penyokong masing-masing menunjukkan disiplin, mencerminkan budaya politik Sabah yang mesra walaupun berbeza pendirian.

Proses serahan borang pencalonan dibuka dari jam 9 hingga 10 pagi sebelum melalui semakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Senarai rasmi calon dijangka diumumkan selepas semua dokumen disahkan.


Petagas kekal antara lokasi paling menjadi tumpuan, bukan sekadar kerana persaingan politik, tetapi kerana cerita keluarga disebaliknya.








Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama