Kerja berterusan ke akar umbi, Victor yakin tumbangkan Presiden STAR di Tambunan

 

KOTA KINABALU: Calon Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi kawasan Tambunan yakin mampu menumbangkan Presiden Parti STAR pada Pilihan Raya Umum (PRU) DU ke 17 nanti. 

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tambunan, Victor Peter Paut berkata keyakinan itu berpunca daripada kerja akar umbi yang dilakukannya secara berterusan sejak memegang jawatan Ketua Bahagian pada 2023.

“Perasaan saya biasa saja. Sebagai orang politik, bila diberi tanggungjawab untuk menangkan parti, kita akan buat sehabis baik. Tapi perjuangan saya bukan baru, sudah lama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah(SICC), di sini, pada Rabu. 

Menurutnya, bahagian yang diterajuinya kini menjadi antara yang paling aktif di Sabah dengan lebih 1,800 program dijalankan bersama masyarakat sejak tahun lalu. 

“Saya kerja 24 jam, tujuh hari seminggu tanpa henti. Tidak ada bahagian lain yang ada program setiap hari. Sebab itu saya yakin 99 peratus kami akan menang di Tambunan,” jelasnya. 

Beliau turut menjelaskan bahawa manifestonya akan dilancarkan selepas pengumuman tambahan calon dibuat kelak.

“Manifesto kami realistik, bukan janji bulan dan bintang. Apa yang dijanjikan boleh dicapai dalam tempoh 100 hari,” ujar beliau. 

Menurut Victor, visi utamanya kali ini untuk memajukan Tambunan dari aspek ekonomi, sosial dan pembangunan masyarakat yang kini dilihat masih ketinggalan berbanding daerah lain di Sabah.

“Fokus saya jelas, majukan Tambunan, perbaiki ekonomi rakyat dan bawa pembangunan yang seimbang,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama