KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini mengumumkan baki empat calon terakhir yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17, sekali gus melengkapkan senarai penuh 55 calon gabungan itu.
Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, empat calon berkenaan ialah Dr Bonaventure Boniface (DUN Tamparuli), Rafie Robert Tawik (DUN Bingkor), Samsiah Usman (DUN Kukusan) dan Datuk Hassan A Gani Pg Amir (DUN Sebatik).
Menurutnya, semua calon itu membawa latar belakang, bakat serta pengalaman yang pelbagai dan diyakini mampu memberi saingan kuat dalam pilihan raya kali ini.
“Semua calon-calon ini mempunyai kekuatan tersendiri dan berupaya untuk memenangi pilihan raya ini.
"Saya menyeru seluruh penyokong GRS agar bersatu dan memastikan kemenangan besar untuk gabungan ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Hajiji berkata, kemenangan GRS penting bagi memastikan kerajaan pimpinan gabungan itu terus diberi mandat untuk meneruskan agenda pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat.
Semalam, Hajiji telah mengumumkan 51 calon pertama GRS yang terdiri daripada gabungan pemimpin berpengalaman dan muka baharu, dengan 35 peratus daripadanya merupakan calon muda.
Dengan pengumuman empat calon baharu itu, GRS kini bersedia sepenuhnya menghadapi PRU DUN Sabah ke-17.
