Bicara bela diri kes rasuah Bung, Zizie ditangguh kerana PRN

 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad untuk menangguhkan perbicaraan bela diri kes berkaitan rasuah bernilai RM2.8 juta ke Januari tahun depan.

Memetik sumber Harian Metro, perbicaraan yang kini berada di peringkat bela diri itu asalnya dijadualkan bersambung pada 27 November dan 3 Disember ini.

Walau bagaimanapun, Hakim Rosli Ahmad menetapkan tarikh baharu itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan menerima surat daripada peguam tertuduh untuk penangguhan perbicaraan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry berkata, pihak pendakwaan menerima surat permohonan penangguhan itu pada 4 November lalu daripada peguam bela kedua-dua tertuduh untuk menangguhkan perbicaraan berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijadualkan pada 29 November ini.

Sususlan itu, mahkamah kemudian membenarkan perbicaraan pada 27 November dan 3 Disember ditangguhkan dan menetapkan tarikh baharu perbicaraan pada 12 hingga 14 Januari 2026.

Pada prosiding hari ini, Bung Moktar dn Zizie Izette diwakili peguam bela, Ridha Abdah Subri.

Bung Moktar, 65, yang juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah dijadualkan akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag bagi mempertahankan kerusi terbabit.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette, 46, di Public Bank Berhad Cawangan Taman Melawati di sini pada 12.30 tengah hari hingga 5 petang, 12 Jun 2015.

Pertuduhan ketiga, Bung Moktar turut dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan tunai RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan sama pada 17 Jun 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette, 46, pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya mengikut Seksyen 28(1)(c) akta sama yang membawa hukuman sama jika sabit kesalahan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama