KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi, berikrar mahu menumpukan usaha memperkasa sistem pengurusan kampung dan memperkukuh peranan belia sekiranya diberi mandat pilihan raya kali ini.
Razali, 56, yang juga seorang peguam berpengalaman sejak 1994, berkata tumpuannya adalah menambah baik komunikasi dan penyelarasan antara kepimpinan kampung serta taman bagi memastikan segala urusan berjalan dengan lebih teratur dan telus.
“Kita akan bentuk Majlis Pengurusan Kampung yang menghimpunkan pemimpin kampung, belia dan NGO aktif supaya keputusan dan tindakan dapat dibuat secara bersama.
“Ia juga akan menjadi platform melatih pemimpin muda di peringkat akar umbi,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman calon GRS, hari ini.
Beliau berkata, majlis berkenaan penting bagi memastikan suara rakyat di peringkat kampung tidak terpinggir serta semua keperluan penduduk dapat disalurkan secara berkesan kepada pihak berwajib.
Dalam masa sama, Razali turut menggariskan komitmennya untuk menubuhkan pusat belia di setiap kampung sebagai pusat aktiviti keusahawanan dan pembangunan sosial.
“Kita mahu belia menjadi tenaga penggerak pembangunan Darau. Melalui program keusahawanan dan latihan kemahiran, mereka boleh mencipta peluang pekerjaan dan menyumbang kepada ekonomi tempatan,” katanya.
Mengulas mengenai perbandingan jumlah calon muda antara GRS dan parti lain, beliau menegaskan bahawa perkara itu bukan soal angka semata-mata.
“Ini bukan tentang berapa ramai muka baharu, tapi siapa yang benar-benar berkhidmat. Yang penting, pemimpin mesti dekat dengan rakyat dan faham masalah di lapangan,” katanya.
Razali yang berpengalaman luas dalam bidang guaman turut dikenali sebagai individu aktif dalam pelbagai aktiviti komuniti di sekitar Kota Kinabalu dan Darau.
“Kalau diberi peluang, saya mahu terus berkhidmat untuk masyarakat dengan pendekatan yang lebih inklusif dan mesra rakyat,” katanya.
